Contoh Rumusan Tugasan Sejarah PT3 (Bahan Rujukan)

PT3 Sejarah 2015: Panduan Tugasan & Contoh Jawapan

Secara keseluruhannya, Pemeteraian Persetiaan Persekutuan 1895 memperlihatkan betapa pentingnya kedaulatan kepada sesebuah negara.

Kedaulatan adalah penting bagi memastikan keamanan negara dapat dikekalkan. Rakyat dapat hidup dengan tanpa diganggu, hak individu dihormati dan tidak dicabuli, bebas memilih cara hidup, tidak dizalimi, bebas meluahkan pendapat, bebas beragama dan berpersatuan, bebas bergerak dan menikmati kehidupan yang aman dan selesa.

Gandingan mantap seluruh rakyat diperlukan untuk menjaga kedaulatan negara daripada dibolosi oleh anasir-anasir luar yang boleh merobek kedaulatan serta keharmonian adat dan budaya masyarakat di Malaysia.

Rakyat perlu berganding bahu dan bersatu hati dalam menjamin keselamatan negara sentiasa berada pada tahap yang optima kerana kelekaan dalam soal mempertahankan kedaulatan negara akhirnya boleh membawa kepada neokolonialisme.

Negara yang berdaulat ialah negara yang bebas daripada sebarang kongkongan atau ancaman negara luar.

Kerajaan negara berdaulat dapat memerintah negara atas paksi sendiri. Rakyat boleh melakukan kegiatan sendiri selagi tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan. Bebas daripada kongkongan negara luar akan melancarkan perjalanan jentera pentadbiran negara. Oleh itu kedaulatan adalah penting untuk negara bebas daripada menjadi wilayah jajahan.

Kedaulatan negara juga dapat dikekalkan dengan adanya hubungan antarabangsa. Malaysia ialah negara berdaulat kerana berupaya mengawal hal ehwal dalam negeri dan bebas mengadakan hubungan luar atau hubungan serantau melalui dasar luar negara.

Kedaulatan negara juga dapat dikekalkan melalui kecekapan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin negara. Pemimpin-pemimpin negara harus mentadbir negara berdasarkan prinsip bersih, cekap dan amanah.

Perpaduan rakyat ialah prasyarat kepada pembentukan sebuah negara berdaulat. Usaha-usaha mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum harus digiatkan untuk mengekalkan kedaulatan negara.

Semoga Pemeteraian Persetiaan Persekutuan 1895 dapat menyedarkan pemimpin-pemimpin negara dan rakyat Malaysia betapa pentingnya kedaulatan negara dan seterusnya berusaha untuk mempertahankannya.